4 April 2019 | 28 Rejab 1440H (Khamis) - Sekretariat MS 1900:2014 (Patuh Syariah) Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) sekali lagi menganjurkan program lawatan ke MIHAS 2019 di MITEC, Kuala Lumpur. Lawatan kali ini disertai oleh Ketua Hakim Syarie MSNM, YAA Tuan Mohd Nadzri Bin Abdul Rahman, Ketua Pendaftar MSNM, Tuan Abu Suffian Bin Abu Yaziz, Puan Izzah Hanani binti Suhaimi dan Pegawai Pematuhan Syariah, wakil sekretariat MS 1900:2014 dan ISO 9001:2015 dan beberapa orang kakitangan MSNM.
MIHAS merupakan program yang diiktiraf sebagai pameran produk, perkhidmatan dan perdagangan halal terbesar di dunia yang melibatkan 1000 pempamer yang mewakili 44 negara. Sehubungan itu, antara tujuan lawatan ke MIHAS ialah untuk menambah pengetahuan tentang industri halal dan dapat menyaksikan sendiri pameran produk tempatan dan antarabangsa yang dipamerkan meliputi pelbagai sektor industri seperti makanan minuman (F&B), kosmetik, farmaseutikal, kewangan, pelancongan, e-commerce, logistik dan yang terkini pada MIHAS 2019 ini termasuk fesyen-fesyen sopan. MIHAS ini juga telah disertai oleh pengilang halal terbesar di Malaysia dan dari luar negara.
YAA berharap semoga program lawatan ini dilaksanakan secara berterusan secara bergilir pada setiap tahun dengan tujuan memberi pengetahuan dan pengalaman mengenai produk-produk halal yang bukan sahaja melibatkan pemakanan tapi lebih luas termasuk farmaseutikal, pelancongan, pembuatan dan kewangan Islam. Selain memberikan pengetahuan, produk-produk ini boleh digunakan di dalam aktiviti seharian dan bagi proses pemilihan di peringkat jabatan seterusnya mempastikan segala proses kerja di MSNM adalah terjamin halal.
Disediakan Oleh: Izzah Hanani Binti Suhaimi