Muzakarah Hakim Syarie Negeri Melaka Bil 1/2016
Muzakarah Hakim Syarie Negeri Melaka Bil 1/2016
KHAMIS, 21 APRIL 2016 – Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah berjaya menganjurkan Muzakarah Hakim Syarie Negeri Melaka kali pertama bagi tahun 2016 bertempat di Kompleks Mahkamah Syariah Melaka selama 1 hari. Program berkenaan turut melibatkan kakitangan MSNM di ibu pejabat, kakitangan dari Mahkamah Rendah Syariah Daerah Alor Gajah dan Jasin. Penyertaan berjumlah 42 orang peserta yang terdiri daripada YAA Ketua Hakim Syarie, YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah, Penolong-penolong Pendaftar, Pembantu-pembantu Hakim, Pembantu-pembantu Pendaftar dan unit kewangan MSNM.

Antara peserta yang terlibat dengan latihan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai
Muzakarah berkenaan turut melibatkan moderator jemputan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) iaitu Tuan Zulfikri Bin Yasoa’, Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM bagi berkongsi idea dan pandangan. Antara pengisian utama muzakarah tersebut adalah membincangkan kaedah pelaksanaan penalti bagi kesalahan lafaz cerai luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah sepertimana termaktub dalam peruntukan seksyen 125 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.

Penerangan secara ringkas berkaitan isu perbincangan oleh tuan moderator kepada peserta program.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Yang Amat Arif Datuk Hj Mohd Radzi Bin Hj Abd Latif, turut dimaklumkan bahawa MSNM selaku Institusi Kehakiman Syariah di negeri bersejarah ini memandang serius berkaitan kes-kes perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah yang kian berleluasa di kalangan masyarakat. Umum mengetahui pelbagai usaha dari pihak berwajib telah dilakukan untuk mengawal masalah perceraian di kalangan masyarakat yang berumahtangga. Beliau turut menegaskan bahawa sememangnya menjadi tanggungjawab kepada para Hakim Syarie untuk melaksanakan proses pengadilan ke atas masyarakat seadil dan sewajarnya, dan hukuman penalti tersebut adalah wajar dikenakan sebagai memberi peringatan dan didikan kepada masyarakat sepertimana hasrat penggubal undang-undang.

YAA Ketua Hakim Syarie dan YA Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah sedang mendengar ulasan tuan moderator sambil diperhatikan oleh Ketua Pendaftar

Sesi soal jawab muzakarah
MSNM sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dalam memperluas fungsi institusi kehakiman syariah dengan mengadakan muzarah hakim syarie secara tahunan. Melalui muzakarah sedemikian, banyak isu dan permasalahan dalam sektor perundangan syariah dapat ditangani. Muzakarah diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tuan moderator dan ucapan ringkas penangguhan program oleh pihak urusetia.
Berita dan Gambar Oleh : En. Mohd Hafiidz Bin Azman






















.png)





.png)








